PUSAT TUISYEN JADI BESTARI - SEKSYEN 8 KOTA DAMANSARA

Sunday, October 25, 2009

PERHATIAN!! JAWAPAN LATIHAN BENGKEL BM KERTAS 2 UNTUK CALON SPM 2009

CADANGAN JAWAPAN SOALAN 1

Contoh arahan soalan:

Soalan 1 – Rumusan
(30 markah)

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha untuk mewujudkan pelajar yang berketerampilan dan faedah-faedahnya. Rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Usaha melahirkan pelajar bijak dan celik minda bukan sesuatu yang mudah. Jika bijak dimaksudkan dengan lulus cemerlang dalam peperiksaan, mungkin usaha Kementerian Pelajaran Malaysia selama ini sudah mencapai matlamat berdasarkan peratusan calon Ujian Pencapaian Sekiolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) yang mencatat prestasi cemerlang. Bagaimanapun, jika bijak itu ditakrifkan sebagai serba boleh dari segi akademik, pemikiran, daya tahan dan memiliki jati diri, rasanya matlamat itu belum tercapai sepenuhnya. Mereka mungkin cemerlang dalam peperiksaan, tetapi belum cemerlang apabila melangkah ke alam pekerjaan.

Justeru, cadangan Kementerian Pelajaran Malaysia melaksanakan sistem melaksanakan sistem baharu menilai prestasi pelajar berasaskan sekolah secara berterusan yang dijangka dilaksanakan sepenuhnya tiga tahun lagi adalah satu langkah proaktif bagi melahirkan pelajar berwawasan dan berketerampilan. Pada peringkat awal, kementerian telah mengenal pasti 300 buha sekolah cemerlang di seluruh negara untuk menjadi perintis manakala pengetua atau guru besar sekolah berkenaan diberikan kelonggaran melaksanakan perubahan kokurikulum. Sistem pendidikan yang dilaksanakan selama ini bukan tidak baik, tetapi pendekatan baharu dan usaha penambaikan perlu dilakukan berterusan sejajar perkembangan dan kehendak global yang menekankan aspek kemahiran dan kebolehan individu. Cadangan itu diharapkan menjadi kaedah terbaik melahirkan pelajar berkualiti, dinamik dan inovatif.

Kewujudan pepriksaan awam sekarang masih diperlukan untuk menilai tahap kebolehan pelajar, cuma penekanan berlebihan terhadap peperiksaan boleh menyebabkan sistem pendidikan dilihat terlalu berorientasikan peperiksaan dan dikhuatiri alam persekolahan kehilangan nilai pendidikan kemanusiaan. Justeru, sistem pendidikan sekolah harus berubah ke arah melahirkan pelajar bijak, kreatif dan kritis serta mampu menjana kemahiran. Antara elemen yang boleh diambil kira ialah kerajinan, tumpuan, minat dan prestasi pelajar. Sistem pendidikan terlalu berorientasikan peperiksaan boleh mendororng pelajar, ibu bapa dan guru mengutamakan kelulusan A yang diperoleh, sekali gus mengabaikan aspek lain seperti kokurikulum, terutama membabitkan kemahiran dan jati diri. Oleh itu, kerjasama pelbagai pihak menyambut positif langkah mengurangkan beban serta tekanan peperiksaan amat dialu-alukan selain menjadikan pendidikan lebih menyeronokkan. Kaedah itu sudah dilaksanakan di beberapa negara maju tetapi kita telah melaksanakannya menerusi acuan sendiri. Apa-apa pun, pelaksanaan cadangan ini tidak boleh dibuat tergesa-gesa, sebaliknya memerlukan kajian yang teliti dan malum balas pelbagai pihak kerana proses ini membabitkan pembinaan generasi masa depan.

Kerajaan perlu memberikan penjelasan yang telus dan terperinci tentang perubahan terhadap dasar pendidikan sedia ada. Dalam konteks ini, sentuhan kemanusiaan harus diberi penekanan supaya pelajar ke sekolah bukan sekadar untuk lulus peperiksaan. Keutamaan juga harus diberikan untuk membantu membentuk pelajar berdisiplin dan konsisten ke arah peningkatan potensi dalam kerjaya yang bakal diceburi.



ISI-ISI TERSIRAT (FAEDAH-FAEDAH)
Dapat mewujudkan sistem pendidikan bertaraf dunia.
Membentuk pelajar minda kelas pertama.
Kesimbangan antara kokurikulum dan kurikulum.


Soalan (2a) Petikan Rumusan

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(a) Berikan maksud rangkai kata sentuhan kemanusiaan.
[2 markah]
Maksud rangkai kata sentuhan kemanusiaan ialah pendekatan nilai-nilai murni.

(b) Apakah kesan yang akan timbul sekiranya sistem pendidikan hanya berorientasikan peperiksaan?
[3 markah]
Kesan yang akan timbul sekiranya sistem pendidikan hanya berorientasikan peperiksaan ialah pelajar tidak cemerlang apabila melangkah ke alam pekerjaan. Selain itu, pelajar, ibu bapa dan guru mengutamakan kelulusan A. Selain itu juga, alam persekolahan akan kehilangan pendidikan kemanusiaan.

(c) Pada pendapat anda, bagaimanakah pihak sekolah dapat memupuk pelajar menyertai aktiviti kokurikulum?
[4 markah]

Pada pendapat saya, pihak sekolah dapat memupuk pelajar menyertai aktiviti kokurikulum melalui pelbagai aktiviti yang menarik minat pelajar. Selain itu, pihak sekolah memberikan anugerah pelajar paling aktif dalam aktiviti kokurikulum. Selian itu juga, mengadakan aktiviti yang mencabar sama ada di dalam atau di luar kawasan sekolah serta menambahkan bilangan pelajar yang cemerlang dalam kokurikulum berpeluang memasuki IPTA.



CONTOH JAWAPAN 2b

(i) Mengapah Safiah melarang Umar bekerja sebagai seorang guru? [2 markah]
Safiah melarang Umar bekerja sebagai seorang guru kerana Safiah ingin tinggal di luar negeri. Safiah juga mahu Umar bekerja di luar negeri dan menganggap seseorang yang berkelayakan seperti Umar mesti bekerja di luar negeri.

(ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah cara terbaik untuk menyelesaikan perbalahan antara Safiah dan Umar ? [3 markah]
Pada pendapat saya, cara terbaik untuk menyelesaikan perbalahan antara Safiah dan Umar ialah melalui sikap tolak ansur antara kedua-dua pihak. Umar perlu memperjelas rasional mengapa dia sanggup menjadi guru di negaranya sendiri. Mereka berdua juga perlu berbincang kebaikan dan keburukan berada di luar negeri. Jika perlu mereka perlu menggunakan orang tengah untuk mencari penyelesaian di atas.

(iii) Huraikan satu pengajaran dalam petikan dan satu pengajaran lagi daripada keseluruhan drama tersebut. [4 markah]
Satu pengajaran yang terdapat dalam petikan drama di atas ialah kita hendaklah sanggup mencurahkan tenaga untuk berbakti kepada tanah air. Hal ini dapat dibuktikan melalui watak Umar yang sanggup menjadi guru di negara sendiri. Manakala satu pengajaran yang terdapat dalam keseluruhan drama "Serunai Malam" ialah, kita hendaklah sabar dan tabah ketika menghadapi pertentangan pendapat dengan pihak lain. Hal ini dapat dibuktikan melalui watak Umar yang sabar dan tabah menghadapi karenah tunangnya, Safiah yang memintanya bekerja di luar negeri.




CONTOH JAWAPAN 2c

(i) Apakah maksud "takut benar juga saudaraku Sabor itu" ?
[2 markah]
Maksud "takut benar juga saudaraku Sabor itu" ialah timbul perasaan berbelah bahagi kemungkinan tindakan Sabor adalah betul manakala tindakan Jibor adalah salah.

(ii) Apakah peristiwa cemas yang berlaku setelah imam membaca fatihah? [3 markah]
Peristiwa cemas yang berlaku setelah imam membaca fatihah ialah keempat-empat sipahi telah memancung leher jauhari. Kepala jauhari jatuh di kaki Jibor. Jibor terkejut lalu melompat dan menyebabkan orang yang menunaikan solat juga lari.

(iii) Pada pendapat anda, apakah yang sepatutnya dilakukan oleh Jibor setelah mendengar kata-kata Saidah? [3 markah]
Pada pendapat saya, perkara yang sepatutnya dilakukan oleh Jibor setelah mendengar kata-kata isterinya, Siti Saidah ialah Jibor perlu menyiasat kebenaran cerita daripada isterinya itu. Jibor juga sepatutnya memanggil Sabor untuk mendapat penjelasan lanjut tentang aduan isterinya. Jibor seharusnya menyerahkan hal ini kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya, bukannya menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa.




CONTOH JAWAPAN 2d

(i) Maksud "Harganya tidak dapat dinilaikan sebuah dunia belinya bukan" ialah ilmu yang dimiliki oleh seseorang sangat berharga dan tidak boleh dijual beli.
(ii) Pada pendapat saya ilmu sangat penting dalam kehidupan kita kerana melalui ilmu kita akan menjadi orang yang berguna kepada bangsa dan negara. Ilmu juga menjadikan kita dihormai oleh orang lain. Selain itu, ilmu dapat membantu kita menentukan perkara yang baik dan perkara yang buruk.
(iii) Bentuk puisi di atas ialah mempunyai 6 rangkap, rima akhirnya a,a,a,a.

CONTOH JAWAPAN 3a

3(a) Tulis satu ayat daripada perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan maksudnya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan serta menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau kata nama khas.

(i) tafsir (memberikan keterangan)
Maksud ayat dalam buku itu telah saya tafsir sedalam-dalamnya.

(ii) taksir (mengira, menghitung)
Keuntungan jualan di kedai runcit itu telah kami taksir semalam.

(iii) hitung (mengira sesuatu)
Hitung panjang hasil jualan kelapa sawit di kebun itu mencecah sepuluh ribu ringgit sebulan.

(iv) hutang (meminjam)
"Mak Limah selalu membeli barangan dapur di kedai itu secara hutang," kata Ali kepada rakannya.

(v) cetek (tempat yang tidak dalam)
Adik suka mandi di tempat air yang cetek.

(vi) cetak (menghasilkansemula, mengecap)
Kertas kerja itu saya cetak sejak pagi tadi.
Jawapan soalan 3b

(i) Kami telah menyampaikan pidato yang telah disediakan oleh guru Bahasa Melayu pada pagi tadi.
Pidato yang telah disediakan oleh guru Bahasa Melayu telah kami sampaikan pagi tadi.

(ii) Baginda telah mengurniakan pingat keberanian kepada pejuang tanah air semalam.
Pingat keberanian telah dikurniakan oleh baginda kepada pejuang tanah air semalam.

(iii) Usahawan muda negara ini telah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
Nama negara telah diharumkan oleh usahawan muda negar ini di peringkat antarabangsa.

Jawapan soalan 3c

(i) Kebanyakkan (Kebanyakan) pengusaha batek (batik) di negara ini telah mengadakan jualan mega sepanjang bulan ini.
(ii) Semua guru perlu memperbanyakkan (memperbanyak) salinan lapuran (laporan) disiplin pelajar sebelum menyerahkan kepada ibu pada.
(iii) Semua calon peperiksaan yang mengambil matapelajaran (mata pelajaran) Bahasa Melayu diminta memasuki (masuk) ke dewan peperiksaan dengan segera.

Jawapan soalan 3d

(i) Walau sibuk mengajar/bertugas di sekolah, guru itu tetap berjaya menghasilkan banyak buku rujukan untuk pelajar.

(ii) Pemilihan bahasa Melayu sebagai sebagai bahasa kebangsaan telah diterima oleh semua kaum di negara ini.

(iii) Enjin motosikal yang telah diubahsuai oleh kedua-dua juruteknik itu telah mendapat tempat pertama dalam pertandingan peringkat kebangsaan.

Jawapan soalan 3 (e)

(i) Genggam bara api biar sampai jadi arang.

(ii) Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

(iii) Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.


Jawapan soalan 4


4(a) Novel yang saya kaji ialah Di Hadapan Pulau. Tajuk Di Hadapan Pulau amat sesuai dengan isi novel ini. Hal ini dapat dibuktikan melalui plot novel. Sepanjang peristiwa novel ini berlaku di perkampungan nelayan di hadapan pulau Jakun. Dalam novel ini juga diceritakan keinginan Aziz, watak utama novel ini yang teringin untuk ke pulau itu. Di hadapan pulau ini juga berlakunya peristiwa sedih iaitu pengeboman Jepun, kesusahan hidup pada zaman peperangan, kematian Tok Marzuki, kebuluran, maruah tergadai, dan sebagainya. Semua watak yang terdapat dalam novel ini menghadapi penderitaan hidup. Ada sesetengahnya yang ingin lari ke pulau Jakun. Di hadapan pulau ini jugalah tempat penduduk kampung mencari rezeki sebagai nelayan sebelum perkampungan mereka diserang oleh tentera Jepun.


4(b) Novel yang saya kaji ialah novel Di Hadapan Pulau dan Putera Gunung Tahan. Watak utama novel DHP ialah Aziz manakala watak utama PGT ialah Ratu Bongsu. Antara persama nilai ialah keberanian. Aziz berani mencari makanan di kawasan kubu lama walaupun ketika itu zaman peperangan. Ratu Bongsu berani tinggal di puncak Gunung Tahan walaupun ketika itu, dua buah kapal terbang mengebom puncak tersebut. Nilai kasih sayangi. Aziz amat sayang akan Afidah dan Tok Marzuki. Kedua-dua watak sampingan inilah yang membantu Aziz mendapat kasih sayang setelah ketiadaan ibu bapa Aziz. Dalam PGT, Ratu Bongsu pula amat sayang akan ibunya, Perempuan Tua. Setiap permasalahan yang dihadapi akan dirujuk kepada Perempuan Tua. Ratu Bongsu sayang akan Mem William. Nilai tolong menolong. Aziz banyak membantu orang kampung membina shelter ketika perang dan membantu Syed Fikri menanam sayur. Ratu Bongsu pula membantu orang Bunyian melarikan diri ketika puncak Gunung Tahan diserang Inggeris. Ratu Bongsu juga telah membantu Mem William, isteri musuhnya yang sedang sakit.

Disediakan oleh:

RAMLI BIN YAHYA
GURU CEMERLANG BAHASA MELAYU
SMK. SENGGARANG, BATU PAHAT, JOHOR.